
Amalan penyusuan susu ibu bukan sahaja digalakkan di dalam Islam malahan turut diperakui oleh pakar pemakanan dan kesihatan. Susu ibu dilengkapi semua khasiat dalam nisbah yang betul dan isi kandungannya berubah mengikut keperluan pembesaran bayi. Sebaik sahaja bersalin, susu pertama yang akan dihasilkan adalah berwarna kekuningan. Susu ini dinamakan kolostrum. Khasiat proteinnya adalah tiga kali ganda melebihi susu ibu biasa.
Ia mengandungi antibodi dan lebih sel darah putih. Kolostrum yang dihasilkan ini mampu melawan pelbagai jenis penyakit seperti cirit-birit, selsema dan radang paru-paru. Malahan tidak keterlaluan dikatakan ianya turut berfungsi sebagai peringkat pertama proses imunisasi. Kalau dilihat dari segi stastistik, kita akan dapat melihat kadar kemasukan ke hospital, jangkitan telinga, cirit-birit, ruam, alahan dan pelbagai masalah perubatan lain di kalangan bayi yang menyusu susu ibu jauh lebih rendah berbanding bayi yang minum susu formula. Ini adalah kerana bayi menerima antibodi terus dari susu ibu. Bahan-bahan pelalian yang terdapat dalam susu ibu adalah seperti berikut :-
1. Sel darah putih (leukosit) yang membunuh bakteria.
2. Bifidus faktor yang membantu bakteria lakobasilus hidup di dalam usus bayi bagi mengelakkan bakteria yang disebabkan oleh cirit-birit hidup.
3. Laktoferin yang mengikat zat besi, dapat menyekat pembiakan bakteria yang memerlukan zat besi untuk membiak.
Hampir 80% susu ibu adalah sel makrofaj iaitu sel yang boleh membunuh bakteria, virus dan fungus. Selain itu juga, susu ibu sentiasa dalam keadaan bersih dan tidak mengandungi bakteria.
Di dalam Islam pula, kolostrum disebut al-laba’ (Kamil 1989: 29). Islam amat menitiberatkan aspek penyusuan susu ibu sehinggakan ada disebut sekiranya ibu tidak dapat menyusukan anak disebabkan keuzuran atau ketiadaan air susu maka diwajibkan ke atas bapa anak tersebut mengupah perempuan lain untuk menyusukan anaknya. Perkara ini dinyatakan oleh Allah s.w.t di dalam firmannya: ‘Dan kalau mereka (isteri) sedang hamil, hendaklah kamu (suami) membelanjai mereka sampai melahirkan kandungannya. Dan kalau mereka menyusukan anakmu, hendaklah kamu berikannya bayaran dan hendaklah kamu rundingkan mengikut yang sepatutnya. Dan kalau kamu sama-sama merasa kesulitan, bolehlah perempuan lain menyusukannya’ (al-Talaq 65:6).
No comments:
Post a Comment